Monday, December 27, 2021

Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Video link:  https://fb.watch/a8LYxSLtQi/

Ucapan Perbahasan Perbekalan 2022, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri peringkat Jawatankuasa oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 7-12-2021

Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya juga turut ingin menyertai perbahasan untuk Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Butiran 020700 – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Saya perhatikan terdapat penurunan peruntukan daripada RM41 juta pada tahun 2021, dikurangkan kepada RM39 juta. Akan tetapi pada hakikatnya, apabila saya imbas kembali buku- buku bajet yang lama, sebenarnya sebelum ini tahun 2020 sebanyak RM28 juta naik kepada RM41 juta sekarang turun kepada RM39 juta. Saya hendak minta penjelasan Yang Berhormat Menteri.
Berkenaan dengan perkara ini, Malaysia telah jatuh dari tangga ke-22 pada tahun 2019 ke tangga ke-27 pada tahun 2021 dalam indeks International Institut of Management Development (IMD) Global Competitiveness Index, dalam Indeks Daya Saing Global. Apakah usaha oleh kerajaan untuk memperbaiki Indeks Daya Saing Global ini? Ini kerana dalam buku ini telah diadakan sasaran dan sebagainya.
Tuan Pengerusi, perkara kedua yang saya bangkitkannya ialah Butiran 99000 – Aeroangkasa. Saya perhatikan terdapat satu anggaran yang agak besar anggaran harga projek RM1.1 bilion dan tahun 2022 dibajetkan RM60 juta.
Saya ingin memohon penjelasan Yang Berhormat Menteri, sama ada peruntukan tersebut bertujuan untuk sesuatu bangunan yang baharu dan sekiranya bangunan baharu apakah lokasi serta butiran-butiran kerana projek aeroangkasa telah disenaraikan sebagai satu projek yang berpotensi di RMKe-12 khasnya telah dinyatakan negeri Selangor dan Pulau Pinang. Minta Yang Berhormat Menteri untuk berikan butiran tentang Industri Aeroangkasa?
Butiran 020000 – Pembangunan Industri dan Daya Saing. Bersama juga dengan Butiran 040000 – Pengukuhan Pelaburan Berkualiti. Saya memohon penjelasan Yang Berhormat Menteri apakah strategi kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan industri semikonduktor di Pulau Pinang dan dalam masa COVID-19 dan pasca COVID-19 industri health care manufacturing, pembuatan berkenaan dengan industri kesihatan di Pulau Pinang? Apakah insentif yang diberikan dalam menggalakkan pertumbuhan industri ini? Apakah inisiatif MIDA dalam perkara ini?
Seterusnya, Butiran 050600 – InvestKL. Tadi telah Ahli Parlimen Bangi telah nyatakan tentang China Special Channel berkenaan dengan sebelum ini ditempatkan di InvestKL tetapi sekarang ini dialihkan kembali kepada MIDA.
Saya hairan juga kerana kita telah melantik beberapa duta khas, Yang Berhormat Bintulu Duta Khas ke People’s Republic of China dan saya ingin menanyakan Yang Berhormat Menteri, apakah bidang tugas dia? Ini kerana kelmarin beliau juga bertanding DUN di Sarawak. Apakah kehebatan beliau? Boleh menjawat jawatan Ahli Parlimen, pada masa yang sama Duta Khas ke China bertaraf Menteri. Sekarang pula meminta untuk kerja sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak? Negeri pun boleh, Parlimen pun boleh, antarabangsa juga boleh? Apakah sumbangan duta-duta khas bukan sahaja beliau, Yang Berhormat Serian, Duta Khas Asia Timur, Yang Berhormat Marang, Timur Tengah dan MIC Presiden, Asia Selatan.
Pelantikan begini telah membazirkan wang cukai rakyat kerana ia tidak ada sumbangan yang signifikan, tidak ada apa-apa sumbangan mendatangkan pelaburan antarabangsa. Apakah sumbangan mereka dalam perniagaan antarabangsa?
Perkara akhir Butiran 030000 – Pengukuhan Perdagangan Antarabangsa. Saya nampak terdapat satu penurunan daripada segi pengukuhan perdagangan antarabangsa daripada RM196 juta kepada RM74 juta dan khasnya diturun dengan hebatnya daripada hubungan serantau dan antarabangsa dari RM27 juta hingga ke RM2 juta sahaja.
Apakah pengurangan sebegitu signifikan pada kala kita memupuk untuk memasuki RCEP dan CPTPP kita mahu usaha— Apakah usaha FTA-FTA yang lain yang sedang diusahakan oleh MITI selain daripada RCEP, selain daripada CPTPP apakah FTA-FTA yang sedang diusahakan oleh MITI?
Terima kasih. Tuan Pengerusi.

No comments: